Article : Penerapan Nilai Berbudi Bahasa


PENERAPAN NILAI BERBUDI BAHASA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU DARI PERSPEKTIF MURID-MURID DARJAH LIMA

Ulasan
NILAI murni merupakan salah satu unsur yang mewujudkan keseimbangan dalam sesebuah masyarakat. Usaha penerapan nilai murni ini perlu dilaksanakan pada peringkat persekolahan lagi.  Hal ini kerana peringkat persekolahan merupakan salah satu peringkat dalam kitaran sosialisasi setiap individu.
Buku Nilai Murni dalam Pengajaran Bahasa Melayu hasil tulisan Dr. Robiah K. Hamzah ini melihat cara atau kaedah penerapan unsur nilai murni melalui mata pelajaran Bahasa Melayu.  Falsafah Pendidikan Negara melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) berhasrat agar penerapan nilai murni ini berjaya melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya.
Bagi seorang pendidik yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu, buku ini wajar dimiliki kerana terdapat garis panduan tentang kaedah penerapan nilai murni melalui mata pelajaran Bahasa Melayu terkandung di dalamnya.  Penulis melahirkan buku ini berdasarkan kajian beliau di beberapa buah sekolah.  Beliau mendapati para guru berusaha untuk menerapkan nilai-nilai murni yang telah ditetapkan dalam KBSM melalui pelbagai kaedah pengajaran.
Menurut penulis, antara teknik yang digunakan oleh guru dalam usaha menerapkan nilai dalam kalangan pelajar termasuklah main peranan, permainan bahasa, khutbah dan syarahan, simulasi, dan model.  Kajian penulis turut disokong oleh teori-teori Barat.  Hal ini dibincangkan dalam bab pertama, iaitu “Sejarah Ringkas Perkembangan Penerapan Nilai Murni dalam KBSM”.  Perbincangan tentang kajian penulis memang menarik kerana beliau melihat kaedah yang dilaksanakan oleh guru  dan kesannya terhadap para pelajar.  Pembaca boleh memperoleh pengetahuan lanjut tentang penerapan nilai dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah dalam bab yang kedua, iaitu “Penerapan Nilai dalam Pengajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah”.
Pengajaran Bahasa Melayu di sekolah bukan hanya tertumpu pada aspek tatabahasa dan penulisan semata-mata, tetapi juga boleh menerapkan unsur-unsur nilai murni bagi membina sahsiah para pelajar terutamanya pada zaman sekarang yang masyarakatnya semakin ketandusan nilai-nilai murni.

Pengenalan
Penerapan nilai merupakan satu komponen penting di dalam kurikulum bahasa Melayu 2008.Berdasarkan kurikulum ini, penyerapan nilai murni dan budaya dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan dan berhemah tinggi.Kepentingan mengenai nilai ini diperkukuhkan lagi dengan pernyataan menteri pendidikan Singapura, Encik Heng Swee Keat yang menggariskan nilai murni sebagai salah satu tunggak utama Kementerian Pendidikan. Dalam ucapan pembukaannya di Seminar Pelan Kerja Kementerian Pendidikan Singapura pada 22 September 2011, Encik Heng menyatakan bahawa “Antara pencapaian akademik dan memupuk nilai, ia tidak seharusnya menjadi keadaan di mana pilihan harus dibuat dan kita harus berusaha mencapai kedua-duanya. Oleh itu, perkara pertama yang harus dilakukan ialah mengesahkan perlunya pengembangan nilai dan perwatakan dalam sistem pendidikan kita. (Sumber: Berita Harian 23.11.2011) Sekolah juga digalakkan untuk meneroka cara yang lebih baik untuk menyemaikan nilai dalam mata pelajaran Bahasa Ibunda dan sastera agar dapat menjadikan Pendidikan Nasional lebih bermakna kepada setiap murid.
Latar Belakang Kajian
Terdapat 16 nilai murni yang telah dikenal pasti di dalam sukatan bahasa Melayu sekolah rendah2008. Antara nilai murni yang diterapkan ialah jimat cermat, kasih sayang, berdikari, keadilan dankesetiaan. Namun untuk kajian ini, tumpuan akan diberikan kepada nilai berbudi bahasa. Nilaiberbudi bahasa ini dipilih kerana nilai ini amat disanjung tinggi oleh masyarakat Melayu Nilai ini dapat dilihat dalam banyak peribahasa, antaranya:
 Orang berbudi kita berbahasa
 Budi bahasa tidak dijual beli
 Berbudi bagai pisang lebat
 Kurang budi teraba-raba, tiada ilmu suluh padam
 “Oleh yang demikian, perkembangan nilai dalam masyarakat Melayu memerlukan penanaman ciri-ciri rohaniah atau batin dan pada keseluruhannya ini bererti mempelajari sindrom konsep sosial dan etika yang tersimpul dalam istilah budi yang meliputi kebaikan, keperibadian, kebijaksanaan, disposisi mental dan kesyukuran." (halaman 53) Pandangan beliau ini diperkukuh lagi dengan pendapat Profesor Tham Seong Chee yang pada ketika itu pensyarah di Jabatan Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Nasional Singapura dalam kajiannya mengenai orang-orang Melayu Malaysia pada tahun 1977: “Tidak hairanlah bahawa budi pekerti, budi bahasa, pendidikan yang baik serta kebijaksanaan menjadi perkara-perkara yang dititikberatkan dalam keluarga Melayu dan kehidupan social orang Melayu. Memanglah menjadi kepercayaan orang Melayu bahawa sesuatu yang baik dan diingini itu ialah budi, iaitu satu pengertian sosial tentang tanggapan yang dianggap unggul mengenai keperibadian yang seharusnya menjadi matlamat setiap orang.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA TERJADINYA ISU

Visi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah 2008 telah ditetapkan sebagai mengenali dan memahami bahasa dan budaya Melayu sebagai sebahagian daripada masyarakat majmuk Singapura. Berdasarkan model kurikulum Bahasa Melayu, budaya merujuk kepada nilai budaya. Budaya diperkenalkan untuk memupuk nilai budaya. Dengan itu, penekanan dalam visi bahasa Melayu ini bukan sahaja terhadap perkembangan diri setiap individu agar seimbang dari segi akademik dan nilai malah setiap individu itu harus disediakan dengan nilai berbudi bahasa yang tinggi sebagai ahli masyarakat dan negara agar dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara. Untuk memastikan yang nilai budi bahasa ini diterapkan, guru memainkan peranan yang penting dalam pembangunan setiap murid.
Guru merupakan faktor yang kritis dalam menentukan kejayaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bilik darjah. Tanpa kehadiran guru yang baik dari segi akhlak, intelektual, emosi, kreativiti, motivasi mengajar, kemahiran membimbing dan keterampilan memimpin, pembelajaran bilik darjah akan menjadi kurang berkesan. Tambahan pula, murid-murid gemar meniru sikap dan nilai individu yang mereka sukakan. Sikap ini amat terserah di peringkat sekolah rendah. Ada sesetengah guru yang disukai oleh murid-murid dan mereka akan cuba meniru apa yang dilakukan oleh guru mereka.
Namun, guru-guru juga menghadapi cabaran dalam penerapan nilai. Menurut Habib (1997), yang dipetik dari artikel Mohd Uzi, 2007, cabaran pertama adalah tanggapan yang berbeza tentang nilai berbudi bahasa ini di kalangan guru kerana perbezaan latar belakang seperti agama, budaya, pendidikan dan latar belakang keluarga. Cabaran kedua adalah salah tanggapan mengenai peranan guru. Kebanyakan guru, berpendapat bahawa peranan menerapkan nilai dalam pengajaran adalah tugas guru yang tertentu iaitu guru disiplin. Cabaran yang ketiga pula ialah penekanan kepada kecemerlangan pada peperiksaan yang menyebabkan aspek penerapan nilai ini tidak diberikan keutamaan. Memandangkan penerapan nilai ini amat dititikberatkan dan telah diberikan penekanan sejak 80-an, namun gejala-gejala sosial masih tetap berlaku. Penerangan yang terperinci mengenai nilai ini juga telah diterapkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, namun kesan penerapan nilai ini terutama nilai berbudi bahasa, nilai yang merupakan nilai yang asas masih belum dapat dikesan di kalangan murid.

DATA

 Kajian

Objektif 1: Untuk mengkaji sejauh mana murid-murid mempelajari dan memahami nilai berbudi
bahasa.
Untuk memastikan objektif ini tercapai, pengkaji telah mengetengah dua faktor yang membantu murid-murid mempelajari dan memahami nilai berbudi bahasa iaitu guru dan ibu bapa. Responden dikehendaki menanda makna yang sesuai untuk budi bahasa. Rajah 2 menunjukkan data yang diperolehi daripada responden secara keseluruhan. Responden didapati mempelajari dan memahami nilai berbudi bahasa. Ini dapat dilihat melalui peratusan untuk nilai-nilai baik yang bermaksud berbudi bahasa. Antaranya 92.5% memilih sopan santun, 92.5% memilih baik hati, 93.75% memilih hormat-menghormati, 85% memilih jujur, 92.5% memilih bekerjasama dan 88.75%  memilih bersikap bertanggungjawab.




                                Rajah 2: Makna berbudi bahasa, melalui pengajaran guru

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI ISU

Melalui kajian ini diharapkan dapat menimbulkan kesedaran kepada para guru tentang keseimbangan antara kognitif dan efektif. Penerapan nilai haruslah dianggap sesuatu yang mustahak agar setiap murid dapat dibentuk secara holistik; seseorang murid itu bukan sahaja bijak tetapi juga berkeperibadian tinggi. Di dalam konteks masyarakat Melayu, seseorang yang berkeperibadian tinggi ataupun tinggi nilai budinya amat diutamakan. Seperti yang terdapat di dalam pantun empat kerat ini.
Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit pandangan orang,
Pandangan atas budi pekerti.
Penerapan nilai berbudi bahasa ini bukan sahaja di dalam pengajaran bahasa Melayu tetapi tingkah laku serta tutur kata guru juga memainkan peranan yang penting. Dengan itu, guru haruslah bijak merancangkan apa yang ingin dicapai. Kajian ini juga berharap dapat mendedahkan kepada para guru mengenai impak guru sebagai peranan model. Guru memainkan peranan yang penting dalam mencorak masa depan setiap murid. Dengan demikian, peranan guru sebagai peranan model amatlah kritikal kerana setiap tingkah laku serta tutur kata guru akan menjadi contohan kepada murid-murid.
Memandangkan peranan guru amatlah penting dalam penerapan nilai maka tumpuan kajian ini ialah untuk menentukan sejauh manakah keberkesanan penerapan nilai berbudi bahasa dalam pengajaran bahasa Melayu dari perspektif murid-murid darjah lima.
Penerapan nilai di dalam pembelajaran bahasa Melayu boleh berlaku secara tersurat dan juga tersirat. Pembelajaran secara tersurat ialah pembelajaran di mana guru menyatakan dengan jelas bahawa pengajaran hari ini ialah mengenai nilai tertentu umpamanya nilai berbudi bahasa. Guru akan mencatatkan di dalam objektif bahawa pengajaran kali ini ialah mengenai nilai berbudi bahasa. Pembelajaran secara tersirat pula ialah pembelajaran di mana guru akan menerapkan nilai di dalam pembelajaran bahasa Melayu secara tidak langsung. Umpamanya guru sedang mengajar kefahamandan murid-murid dikehendaki membincangkan kefahaman itu secara berkumpulan. Oleh itu, guru akan cuba menyemai nilai berbudi bahasa dalam kerja kumpulan dengan mengingatkan murid-murid supaya berbincang dengan baik agar tidak menyinggung perasaan rakan-rakan mereka ataupun berbual mengikut giliran.
Namun begitu, nilai merupakan sesuatu yang abstrak di mana penerima dapat membuat intepretasi masing-masing. Setiap guru juga mempunyai set nilai mereka sendiri yang mempengaruhi pemahaman, persediaan dan pelaksanaan pengajaran mereka. Set nilai ini berbeza-beza untuk setiap guru. Perbezaan ini adalah kerana beberapa faktor yang mempengaruhi pengajaran nilai di dalam bilik darjah. Faktor-faktor tersebut ialah pelajar, pentadbir sekolah, ibu bapa dan kurikulum. Contohnya di sekolah sekarang, banyak penekanan mengenai Pendidikan Keperibadian dan Kewarganegaraan (CCE), nilai-nilai yang ingin diterapkan bergantung kepada setiap sekolah untuk membuat keputusan. Oleh itu pentadbir sekolah telah pun merancangkan beberapa nilai yang selaras dengan visi sekolah dan CCE. Setiap sekolah juga mempunyai nilai yang berbeza untuk memenuhi visi sekolah masing-masing. Dengan demikian, guru secara tidak langsung harus memenuhi permintaan pentadbir sekolah agar nilai-nilai yang diterapkan itu dilaksanakan.

Kesimpulan

Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan bahawa pengajaran guru mengenai nilai berbudi bahasa amat penting kerana murid-murid darjah ini amat mempercayai segala nilai yang baik yang diajar guru kerana mereka ingin menjadi orang yang berbudi bahasa. Mereka sentiasa menganggap guru sebagai peranan model dan merasakan apa yang dinasihati, ditutur cara dan dilakukan oleh guru adalah tepat dan betul. Walaupun pengaruh guru sebagai peranan model terhadap penerapan nilai berbudi bahasa ke dalam murid-murid darjah lima ini tidak ketara; ini bukan bermaksud bahawa guru tidak memainkan peranan yang penting. Dapatan kajian ini menunjukkan keinginan murid-murid darjah lima untuk menjadi seorang yang berbudi bahasa datang daripada diri mereka sendiri. Ini merupakan dorongan utama mereka untuk menjadi seorang yang mempunyai nilai berbudi bahasa. Oleh itu, mereka amat menghargai pengajaran nilai berbudi bahasa yang diterapkan ke dalam pengajaran bahasa Melayu. Oleh itu, guru haruslah berusaha untuk memastikan nilai berbudi bahasa ini diterapkan ke dalam murid-murid di sekolah rendah agar nilai berbudi bahasa yang diperoleh ini dapat menjadi akar yang kuat untuk menyokong murid-murid ini kelak sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah. Sekiranya akarnya tidak kuat, maka mudahlah murid-murid ini tumbang ditiup angin.
























Comments

Popular Posts