Article: Kempen Budi Bahasa Relevan
Kempen
Budi Bahasa Budaya Kita relevan
ULASAN
·
Menghormati orang tua dengan membongkokkan badan ketika berjalan di depan mereka.
·
Bersalam dengan ahli keluarga.
·
Membantu orang kurang upaya.
Berbudi bahasa merupakan amalan yang baik dan
terpuji. Pepatah ada menyatakan bahawa orang berbudi kita berbahasa. Antara
amalan berbudi bahasa termasuklah cara berjalan di hadapan orang tua dengan
membongkokkan badan sedikit. Hal ini menunjukkan tanda hormat kepada orang tua.
Sementara bersalam-salaman pula ialah tanda keakraban pertalian sahabat atau
keluarga. Membantu orang kurang upaya (OKU) melintas jalan ialah amalan yang
dituntut sesama insan. Amalan berbudi bahasa ini dapat melahirkan masyarakat
penyayang dan bertanggungjawab. Kerajaan menjalankan kempen berbudi bahasa
untuk mengajak rakyat mengamalkannya. Tuntasnya, kesopanan penduduk Malaysia
adalah antara faktor yang menarik minat pelancong luar untuk datang ke
Malaysia.
PENGENALAN
Budi bahasa memang penting untuk diamalkan oleh
setiap anggota masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana budi
bahasa melambangkan identiti individu dan kebiasaannya amalan tersebut diamalkan
sejak kecil. Amalan seperti bercakap dengan sopan apabila berkomunikasi dengan
orang lain ketika melayan pelanggan atau ketika bertugas di kaunter memang
perlu dijadikan budaya oleh anggota masyarakat kita. Perkara ini dapat
mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat. Jadi,
terdapat pelbagai kempen yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda
yang berbudi bahasa.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA TERJADINYA
ISU
1.Penghayatan nilai unggul ini harus dilakukan dengan ikhlas dan
jujur serta seharusnya dilaksanakan dalam konsep kepemimpinan melalui teladan,
yang bermaksud kempen itu bukan hanya untuk 'orang lain' atau hanya 'orang
lain' yang perlu dilatih dan dididik bersopan santun serta berbudi bahasa
dengan menganggap golongan tertentu itu adalah baik dan sudah pun bersopan
santun, jadi mereka itu tidak perlu dijadikan sasaran kempen ini.
Saya menyebut hal ini, kerana teringatkan satu peristiwa agak
lama dulu, iaitu ketika kempen ini mula dilancarkan. Ada segelintir Ahli
Parlimen yang membantah apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen sendiri
menyarankan agar kempen ini perlu juga dijalankan dalam kalangan Ahli Parlimen
negara kita. Alasan yang diberikan dalam bantahan ini, ialah sekiranya kempen
ini dijalankan di Parlimen, maka tindakan ini akan menunjukkan seolah-olah Ahli
Parlimen kita juga termasuk dalam golongan tidak bersopan santun sehingga
memerlukan supaya kempen ini dijalankan dalam kalangan mereka.
Malah ada kalangan yang bertanya, apakah kempen ini perlu juga
dijalankan dalam kalangan ahli agama, golongan intelek, penyandang jawatan
atasan, orang elit dan sebagainya? Lalu ramai yang menjawab 'ya', kenapa tidak?
Bukankah mereka itu semuanya manusia biasa, yang ada kalanya terlupa atau lalai
atau tidak mempunyai pengetahuan cukup mengenai adat resam budaya kita yang
baik, jadi kenapa pula mereka tidak semestinya belajar ini semua?
2.Pada suatu ketika dahulu, pernah dibangkitkan oleh media kita
bahawa iklan yang menunjukkan seorang pemuda Melayu bersikap tidak sopan, iaitu
enggan beri tempat duduk dalam tren transit aliran ringan kepada penumpang yang
mengandung, cacat penglihatan dan sebagainya, dianggap menjatuhkan imej orang
Melayu.
Bantahan ini beri gambaran kepada kita bahawa dalam memaparkan
imej buruk itu maka yang jadi sasarannya ialah orang Melayu, sedangkan mesej
iklan itu bukan gambaran kaum yang hendak ditonjolkan, tetapi perilaku dan
sikap manusia itulah yang hendak digambarkan dengan lakonan berkenaan.
Saidina Ali abi Talib RA pernah mengingatkan kita, bahawa
makhluk kejadian Allah SWT ini iaitu manusia, malaikat dan haiwan, terdiri
daripada tiga elemen penting, iaitu akal, nafsu dan keinginan. Manusia
mempunyai tiga unsur ini, manakala malaikat hanya mempunyai intelek, tanpa
nafsu dan keinginan dan haiwan hanya mempunyai sifat nafsu dan keinginan, tanpa
akal atau intelek.
Manusia akan sampai ke martabat yang paling tinggi sekiranya
dapat mengawal nafsu dan keinginannya dengan akal fikiran, malah ketika itu
manusia akan menjadi makhluk lebih baik daripada malaikat. Tetapi, sekiranya
manusia menggunakan akalnya hanya untuk penuhi kehendak nafsu dan keinginannya
semata-mata, maka ketika itu manusia akan jadi makhluk paling hina dan lebih
buruk daripada haiwan.
LANGKAH-LANGKAH
MENGATASI ISU
Berdasarkan
hal inilah manusia perlu dididik jiwa dan akalnya, roh dan jasadnya agar jadi
makhluk yang sentiasa berpandukan ilmu dan inteleknya untuk meningkatkan
martabat sebagai makhluk yang diamanahkan Allah SWT untuk mengurus alam ini
sebagai khalifah-Nya, bukan malaikat dan bukan haiwan.
Oleh itu, menjelang akhir
2017 ini, saya berasakan bahawa suatu kempen yang baik, yang dianggap sebagai
satu didikan jangka pendek yang mendesak, harus dilancarkan semula, malah hal
ini perlu dilakukan mengikut kaedah al-Quran yang sering mengulang-ulang segala
peringatan yang baik berkali-kali dalam surah berbeza dan konteks yang
pelbagai.
Metodologi inilah cara
pembelajaran yang amat berkesan untuk semua, malah al-Quran juga menegaskan "Berilah peringatan, kerana peringatan itu
memberi manfaat kepada orang yang beriman"
Malah peringatan dan
pendidikan bagi jangka panjang untuk kembali kepada peradaban dan tamadun
manusia yang tinggi ini harus dilakukan oleh ibu bapa dan keluarga, pendidik di
institusi pendidikan dan pimpinan masyarakat umumnya yang seharusnya jadi
contoh yang baik.
Kesimpulan
Secara kesimpulan
yang dapat dirumuskan ialah orang yang banyak menabur budi hendaklah diteladani
dan di ambil iktibar kepada generasi muda yang bakal memimpin negara kelak. Bak
kata pepatah Melayu harimau mati meninggalkan belang, manusia mati
meninggalkan nama. Oleh itu, jelaslah bahawa orang pada zaman dahulu
menyifatkan budi yang baik akan dikenang untuk selama-lamanya. Orang-orang yang
berbudi akan dikenang dan menjadi pedoman kepada masyarakat setempat. Budi baik
seseorang juga akan diberi ganjaran pada akhirat kelak. Kita sebagai masyarakat
malaysia hendaklah sentiasa berbudi bahasa supaya dipandang mulia kepada negara
lain khususnya.
Semua pihak
wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing untuk menanam amalan berbudi bahasa
dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan sebelah pihak
sahaja untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat
Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kempen budi bahasa dan
nilai-nilai murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk
meningkatkan kesedaran rakyat. Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata,
“Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya
tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka”.
Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti
kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat
Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah
pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara
Malaysia terus disegani kerana ketinggian budi bahasa rakyatnya.


Comments
Post a Comment